Masyarakat mulai sedar kepentingan kitar semula
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Kesedaran masyarakat Malaysia tentang kepentingan kitar semula semakin meningkat apabila amalan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukim berkata, berikutan peningkatan memberangsangkan itu, kementerian yakin sasaran 22 peratus kitar semula menjelan 2020 akan tercapai.
Katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program bersama NGO sejak program itu dilancarkan pada 2000 lalu.
"Antara aktiviti sepanjang tahun lalu hingga kini adalah program kempen kitar semula dan gotong-royong bersama pemimpin di Temerloh, Pahang dan pertandingan pengumpulan barangan kitar semula di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis.
"Selain itu, program kitar semula di pejabat kerajaan di Wisma Darul Aman, Kedah dan pengkomposan di sekolah di Pulau Pinang juga dilaksanakan," katanya menjawab soalanDatuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Baharum ingin tahu sejauh mana Program Kitar Semula yang dilancarkan oleh kementerian itu berjaya menarik penyertaan rakyat.
Lajim seterusnya memberitahu, bagi program yang dilaksanakan oleh NGO sendiri pula terdiri daripada program pengkomposan di Pusat Penjaja Taman Maluri Cheras, Kuala Lumpur serta program kempen kitar semula peringkat negeri Sarawak dan Pertubuhan Pembuatan Plastik Malaysia (MPMA) di Johor.
Tambahnya, selain penyertaan NGO, badan-badan korporat seperti hotel dan pusat beli belah turut menjayakan program kitar semula.
"Program tersebut ialah pengkomposan dengan kaedah Takakura Home Method di hotel-hotel di Pahang, program pandu lalu di pusat beli-belah Mydin, Kuala Terengganu dan seminar kitar semula anjuran Tetrapak," ujarnya.
Beliau berkata, kementerian yakin penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) akan meningkatkan kesedaran rakyat, seterusnya program kitar semula dapat dijayakan.
Kepentingan kitar semula:
- Kepentingan terhadap alam sekitar.
Kitar semula adalah amat penting kerana sisa buangan memberikan kesan negatif yang amat besar kepada alam sekitar semula jadi.
1. Penghasilan air larut resap (leachate) dan pelepasan gas metana (methane) yang dihasilkan daripada sisa pepejal yang terurai di tapak pelupusan. Kitar semula dapat membantu mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh sisa pepejal.
2. Pemanasan global dan pemusnahan habitat adalah kesan daripada pemusnahan hutan. Kitar semula dapat mengurangkan keperluan terhadap bahan mentah, oleh itu sumber asli seperti kayu balak dapat disimpan dan dikekalkan.
3. Tenaga yang besar digunakan apabila membuat produk daripada bahan mentah. Kitar semula hanya memerlukan sedikit tenaga dimana secara tidak langsung dapat membantu dalam mengekalkan pemuliharan dan pemeliharaan alam semula jadi.
- Kepentingan terhadap manusia.
Kitar semula sangat penting kepada bandar di seluruh dunia dan manusia yang hidup di dalamnya.
1. Meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan. Selain itu juga, kebanyakkan kawasan tanah di negara kita didapati kurang sesuai untuk membina tapak pelupusan disebabkan sebahagian besar meliputi kawasan tadahan air.
2. Mengurangkan belanjawan kewangan. Menghasilkan produk daripada bahan mentah lebih tinggi kosnya berbanding di hasilkan daripada bahan-bahan kitar semula.
3. Memelihara sumber alam semula jadi untuk generasi akan datang. Kitar semula mengurangkan penggunaan bahan mentah dan menggunakan sedikit tenaga berbanding pemprosesan bahan dari sumber asli. Oleh itu alam semula jadi dapat dipelihara untuk generasi yang akan datang.